HaQ MASA

Friday, 30 May 2008

Bismillah




Apakah ibadah dan bentuknya yang terbaik dan afdhal?
Apakah jenis ibadah yang paling disukai Allah SWT?
Apakah ibadah yang paling memartabatkan pelakunya di sisi Allah SWT dan menempatkannya hampir denganNya?


Ibnu al-Qayyum dalam kitabnya ‘Madarij as-Salikin’ ada menyebut bahawa setiap waktu mempunyai ibadahnya yang tersendiri.

Ibnu al-Qayyum berkata :

“Ibadah yang paling baik (afdhal), ialah beramal berdasarkan keredhaan Allah SWT pada setiap waktu mengikut keperluan masa tersebut dan tugasnya. Oleh itu, ibadah yang afdhal pada waktu jihad adalah berjihad. Sekalipun ia mengakibatkan amalan sunat yang tetap seperti sembahyang malam dan puasa ditinggalkan. Bahkan sekalipun sekalipun sembahyang fardhu yang sempurna seperti sebagaimana sembahyang ketika keadaan aman turut ditinggalkan. [tetap dilaksanakan tapi diberi rukhsah, kelonggaran]

Amalan dan ibadah yang paling baik ketika tetamu datang bertamu adalah menunaikan hak-hak tetamu. Amalan sunat yang tetap, begitu juga menunaikan hak isteri dan keluarga tidak lagi menjadi keutamaan ketika itu. [jangan masa tetamu datang, kita sibuk keluar beli barang dapur…]

Amalan yang afdhal ketika waktu sahur (hampir waktu subuh) ialah sibuk dengan bersembahyang, membaca Al-Quran, berdoa, berzikir dan beristighfar.

Ibadah yang terbaik ketika pelajar meminta tunjuk ajar dan mengajar orang yang jahil adalah mara dan sibuk dengan mengajar.

Ibadah yang afdhal ketika azan dikumandangkan ialah meninggalkan semua wirid dan menyahut seruan juru azan. Amalan yang terbaik ketika tiba waktu sembahyang lima waktu ialah bersungguh-sungguh menyempurnakan sembahyang, bersegera menunaikannya di awal waktu dan pergi ke masjid meskipun jauh dan itulah yang afdhal.


Amalan yang afdhal ketika waktu-waktu genting yang memerlukan bantuan sama ada bantuan pengaruh, jasmani atau harta ialah berusaha memberi pertolongan dan bantuan serta mengenepikan amalan berwirid dan bersendirian (khalwah).

Amalan yang paling baik ketika membaca Al-Quran ialah menumpukan hati dan keazaman untuk mentadabbur dan memahami Al-Quran. Hinggakan kamu rasa seolah-olah Al-Quran berbicara denganmu. Oleh itu, garap dan tumpukan hati kamu untuk memahami dan mentadabburnya. Kukuhkan keazaman untuk melaksanakan perintah-Nya.

Ibadah yang terbaik ketika wukuf di Arafah ialah bersungguh-sungguh untuk tunduk khusyuk, berdoa, juga berzikir, bukannya berpuasa yang boleh melemahkan badan untuk melakukan ibadah-ibadah tadi.

Manakala amalan yang afdhal ketika sepuluh hari Zulhijjah ialah memperbanyakkan ibadah terutamanya bertakbil, bertahlil, dan bertahmid.

Sementara ibadah yang paling afdhal ketika sepuluh hari terakhir Ramadhan ialah melazimi masjid, bersendirian (khalwah) dan beriktikaf, bukannya sibuk bercampur gaul dengan manusia.

Amalan yang paling baik ketika teman seIslammu sakit atau meninggal dunia ialah menziarahinya atau hadir mengiringi jenazahnya.

Ibadah yang paling afdhal pada setiap waktu dan keadaan ialah mengutamakan dan mengejar keredhaan Allah SWT pada waktu dan keadaan itu, sentiasa sibuk menunaikan kewajipan waktu, tugas dan tuntutan ketika itu.”

sumber : Asas-asas Islam, Modul Pembangunan Insan [terjemahan kitab 'Min Mabadiul Islam']

Alfussalamah,
Assalamualaikum  
 ibn_arsyad

0 MaklumBalas: